Selawat dan Salam kepada junjungan tinggi Rasulullah SAW, ahli keluarga, para sahabat baginda. Alhamdulillah syukur atas segala ketentuan nikmat dan ketetapan ujian dariNya buat kita yang bergelar hamba.
Dalam kehidupan seharian kita,
siapa yang paling kita ingat?
siapa yang paling kita rapat?
siapa yang kita sayang?
siapa yang boleh mempengaruhi diri kita?
**sama2 fikir, sama2 lihat
semua insan dalam dunia ni, punyai insan kesayangan, punyai role model, punyai insan impian dan sudah tentunya, insan itu sangat mempengaruhi kehidupan kita..
...................................................................................................................................................................
ini sebuah kisah buat kita semua....
Gembira hatinya, gembiralah Rasulullah SAW. Tertitis air matanya, berdukalah baginda. Terhibur hatinya, tersenyumlah baginda.
Dialah satu-satunya puteri yang paling dikasihi dan disayangi oleh junjungan Nabi Muhammad SAW selepas kewafatan isterinya yang sangat dicintai, Siti Khadijah.
Itulah Siti Fatimah RA, wanita terkemuka di dunia dan penghuni syurga di akhirat. Kekasih hati dan kesayangan Baginda.
Bersuamikan Saidina Ali bukanlah satu kebanggaan. Bukan juga yang menjanjikan kekayaan harta dunia. Ini kerana Saidina Ali merupakan sahabat yang sangat miskin berbanding dengan sahabat-sahabat yang lain.
Namun jauh di sanubari Rasulullah SAW tersimpan perasaan kasih dan sayang yang sangat mendalam terhadapnya.
Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Saidina Ali, "Fatimah lebih kucintai daripada engkau, namun dalam pandanganku engkau lebih mulia daripada dia." (Hadis Riwayat Abu Hurairah)
Fatimah mewarisi akhlak ibunya Siti Khadijah. Tidak pernah membebani dan menyakiti suami dengan kata- kata atau sikapnya, dia seorang yang sangat patuh dan menyenangkan.
Sentiasa tersenyum menyambut kepulangan suami hingga hilang separuh masalah suaminya.
Dengan mas kahwin hanya 400 dirham hasil jualan baju perang kepada Saidina Usman Ibnu Affan, Sayyidina Ali memulakan penghidupan dengan wanita yang sangat dimuliakan Allah SWT.
Bukan Sayyidina Ali tidak mahu menyediakan seorang pembantu untuk isterinya tetapi sememangnya beliau tidak mampu berbuat demikian. Meskipun beliau cukup tahu isterinya saban hari bertungkus-lumus menguruskan kerja rumah. Suami mana yang tidak sayangkan isteri. Ada ketikanya bila Saidina Ali berada di rumah, beliau akan turut sama menyinsing lengan membantu Siti Fatimah menggiling tepung di dapur.
"Terima kasih suamiku," bisik Fatimah pada suaminya
Usaha sekecil itu, di celah-celah kesibukan sudah cukup berkesan dalam membelai perasaan seorang isteri.
Suatu hari, Rasulullah SAW masuk ke rumah anaknya.
Didapati puterinya yang berpakaian kasar itu sedang mengisar biji-biji gandum dalam linangan air mata.
Fatimah segera mengesat air matanya tatkala menyedari kehadiran ayahanda kesayangannya itu.
Lalu ditanya oleh baginda, "Wahai buah hatiku, apakah yang engkau tangiskan itu? Semoga Allah menggembirakanmu."
Dalam nada sayu Fatimah berkata, "Wahai ayahanda, sesungguhnya anakmu ini terlalu penat kerana terpaksa mengisar gandum dan menguruskan segala urusan rumah seorang diri. Wahai ayahanda, kiranya tidak keberatan bolehkah ayahanda meminta suamiku menyediakan seorang pembantu untukku?"
Baginda tersenyum seraya bangun mendapatkan kisaran tepung itu.
Dengan lafaz bismillah, Rasulullah SAW meletakkan segenggam gandum ke dalam kisaran itu.
Dengan izin Allah, maka berpusinglah kisaran itu dengan sendirinya.
Hati Fatimah sangat terhibur dan merasa sangat gembira dengan hadiah istimewa dari ayahandanya itu.
Habis semua gandumnya dikisar dan batu kisar itu tidak akan berhenti selagi tidak ada arahan untuk berhenti, sehinggalah Rasulullah SAW menghentikannya.
Berkata Rasulullah SAW dengan kata-kata yang masyhur, "Wahai Fatimah, Gunung Uhud pernah ditawarkan kepadaku untuk menjadi emas, namun ayahanda memilih kesenangan di akhirat untuk keluarga kita."
Jelas, Baginda Rasul mahu mendidik puterinya bahawa kesusahan bukanlah penghalang untuk menjadi solehah.
Ayahanda yang penyayang itu terus merenung puterinya dengan pandangan kasih sayang lalu berkata, "Puteriku, mahukah engkau kuajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kau pinta itu?"
"Tentu sekali ya Rasulullah," jawab Siti Fatimah kegirangan.
Rasulullah SAW bersabda :
"Jibril telah mengajarku beberapa kalimah. Setiap kali selesai sembahyang, hendaklah membaca 'Subhanallah' sepuluh kali, Alhamdulillah' sepuluh kali dan 'Allahu Akbar' sepuluh kali. Kemudian ketika hendak tidur baca 'Subhanallah', 'Alhamdulillah' dan 'Allahu Akbar' ini sebanyak tiga puluh tiga kali."
Ternyata amalan itu telah memberi kesan kepada Siti Fatimah RA. Semua kerja rumah dapat dilaksanakan dengan mudah dan sempurna meskipun tanpa pembantu rumah.
Itulah hadiah istimewa dari Allah SWT buat hamba-hamba yang hatinya sentiasa mengingati-Nya

No comments:
Post a Comment